Tuesday, September 27, 2022

Punca kekayaan negara






Negara kaya rakyat bahagia.

Kunci kekayaan negara terletak pada hasil buminya, kerana dari bumi keluar segala khazanah  secara percuma dan boleh diolah kepada sesuatu yang bernilai kemudian dijual ke seluruh dunia.

Seekar tanah mampu mengeluarkan sejuta ringgit bagaimana?

1. Tanaman - ada 10001 jenis tanaman penjana ekonomi

2. Ternakan - ada ratusan haiwan jika dibiak boleh jadi kaya

3. Galian - berjenis galian dan batu bata yang boleh dijadikan product.

4. dan sebagainya dapat di olah dari satu tapak tanah, peringkat ini dipanggil bahan mentah.


Sebagai contoh penternak lembu, dengan 7 ekor lembu betina dan 3 jantan akan menjadikan kawanan lembu yang terus membiak. Kulitnya boleh diproses menjadi kasut, dagingnya boleh ditinkan, tanduknya boleh dijadikan produk hiasan. Pendekkata semuanya jadi duit.

Tanaman seperti kelapa, sabutnya boleh dijadikan baja, batangnya dijadikan papan, daunnya, minyaknya sangat bernilai, 

 Walaubagaimanapun ia perlu kerjasama dari pemerintah untuk merancang dan mentadbir, tanah terbiar adalah satu kerugian. 






.


Wednesday, July 1, 2020

Kaedah supaya pokok subur


Sila klik gambar untuk besarkan



Pokok memerlukan air, baja dan cahaya yang cukup untuk kehidupan yang subur, bagaimanapun tidak semua tanah pertanian subur. Oleh itu diperlukan teknik diatas supaya pokok mendapat cukup bekalan air daripada air hujan. Jika tanah tersebut jenis subur, ia akan jadi lebih subur.


Caranya: Cangkul keliling pokok supaya ia menjadi lekuk, tujuannya supaya air dapat bertakung semasa hujan. Air yang bertakung akan diserap ke dalam tanah dalam kuantiti yang banyak. Jika tidak dibuat lekuk, air tidak dapat dikumpulkan dan diserap dengan banyak ke dalam tanah. Pokok akan mengalami kekurangan air dan akan mengakibatkan pembesarannya lambat, kurus, tidak subur. Tanda-tanda pokok mendapat cukup air dan baja ialah:

1. Sentiasa ada daun baru yang tumbuh.
2. Daun yang sudah matang hijau hitam berkilat seolah berminyak,
3. Daun lebar-lebar
, tebal dan hijau gelap

4. Pucuk baru tumbuh kerinting.(Tanda baja cukup)
5. Daunnya lebat dan lambat gugur.
6. Batangnya gemuk dan tegap.

7. Sihat dan tidak mudah diserang penyakit.



Pastikan pokok mendapat cukup air dan baja berterusan supaya ia membesar dengan pantas. Seterusnya mendatangkan hasil yang lumayan dan berlipat ganda.

Jika pokok cukup baja, tetapi kekurangan air, ia tetap tidak subur. Oleh itu cubalah teknik diatas.


Insyaallah tuan-tuan, ini adalah kunci ilmu atau master key. Penat lelah anda membanting tulang dan lihatlah hasilnya. Mungkin sebelum ini ramai yang kecewa melihat tanaman mereka tidak subur, sudah dibaja tapi tak subur juga, kenapa? sebab pokok memerlukan dua makanan sekaligus iaitu baja dan air. Terdapat juga mereka yang tidak ada cukup masa untuk menyiram. Bahkan mampukan anda menyiram pokok yang sudah berusia 5-10 tahun. Pada kebiasaannya semua pokok yang berumur sebegini tidak lagi disiram. Namun percayalah pokok tersebut tetap perlukan banyak air dan baja untuk meneruskan kesuburannya.

Dengan teknik diatas...seolah-olah anda selalu menyiram pokok tersebut. Tapi sebenarnya anda hanya goyang kaki sahaja...



Pokok yang sesuai, karas/gaharu, kelapa sawit, kelapa, durian, mangga, rambutan, dokong dan semua jenis pokok buahan. Tanaman kontan seperti tebu, sayur sayuran, tembikai dan sebagainya. 
Teknik lama dimana dipangkal pokok digembur atau ditimbus dengan tanah. Teknik ini akan menyebabkan pokok subur sementara sebab mendapat zat dari tanah yang ditimbus dipangkal pokok. Setelah habis zat tersebut pokok akan kembali tidak subur semula, sebab pangkal pokok tidak boleh menyerap air. Pertumbuhan pokok akan lambat serta tidak membanggakan.

Teknik membaja, anda perlu cari jenis baja yang paling murah dan sesuai caranya:



Setelah lubang keliling pokok dibuat, masukkan sesudu baja ke pangkal pokok, siram dengan air kalau anda mahu, jika tidak tunggu hujan. Apabila baja terkena air barulah ia akan meresap kedalam tanah kemudian lihat hasilnya selepas 2-4 minggu. Tengok, adakah pucuk baru tumbuh kerinting, jika tidak tukar kepada baja lain, pastikan sukatannya sama iaitu satu sudu. Jika daun baru tumbuh kerinting menandakan baja itu sesuai.



Bahagian bawah adalah pokok yang mendapat seimbang air dan baja, pucuk baru juga akan tumbuh keriting tetapi sihat dan segar bugar.
Cara menilai daun: Subur segar, berkilat, berminyak, warna hijau kehitaman.



Sekian, dan selamat maju jaya dan hidup makmur.

Jika ada apa-apa persoalan sila berikan dibahagian komen dibawah.






Sunday, May 10, 2020

PENTERNAKAN LEBAH MADU

Penternakan lebah madu merupkan satu bidang yang santai dan menguntungkan, oleh kerana kita mengganggapnya susah dan merbahaya maka kita mengabaikannya, sebenarnya menternak lebah tidaklah sesusah mana. Apa yang diperlukan ialah:

1. Kawasan yang sesuai
2. Kotak kayu
3. Topi jaring
4. Sarung tangan
5. Sedikit pengetahuan asas untuk menternak lebah.

Modal yang diperlukan lebih kurang RM10.00. Memang rugi sangat jika tidak ternak lebah ni. Jika sekiranya anda ada kawasan yang sesuai silakan. Pada peringkat pertama jika anda tidak mendapati ada sumber untuk mendapatkan koloni lebah, Jangan bimbang. anda hanya perlu buat kotak dari kayu yang terpakai atau kayu lama yang sudah tidak ada bau bahan kimia. Buatkan bentuk kotak dengan satu lubang keluar masuk lebah tersebut. Setelah siap sapukan lilin lebah kedalam kotak tersebut supaya jika ada lebah yang lalu disitu akan terhidu baunya. Teknik kedua, biarkan sahaja kotak itu tanpa dibuat apa-apa, nanti setelah berbulan-bulan akan ada lebah yang masuk dan bersarang dalam kotak tersebut. Tahniah.

Teknik kedua, dengan mencari sarang lebah liar dan memindahkan mereka kesemunya ke dalam kotak. Cara untuk memindahkan lebah mestilah dengan menagkap terlebih dahulu ratunya, setelah dapat ratunya kurung ia kedalam satu jaring khas yang ia rasakan agak selesa. Kemudia letakkan kedalam kotak sarang. Setelah itu semua lebah liar tadi akan pindah ke kotak dengan sendirinya kerana mereka mengikuti ratu lebah. Selepas semuanya masuk ke kotak kita lepaskan ratu dari sangkar. Jika sekiranya kotak itu sesuai didiami mereka akan terus tinggal dalam kotak tersebut. Jika tidak sesuai ,mereka akan lari.

Tempat yang sesuai adalah kawasan redup yang tidak terlalu redup dan panas tidak terlalu panas. Diperingkat permulaan buat ringkas sahaja. Setelah dapat koloni lebah barulah anda buat kotak yang sitematik. Kawasan sesuai merupakan perkara penting sebab jika terlalu lembab akan menyebabkan dijangkiti kulat, jika terlalu panas lebah kurang selesa dan akan pindan ke tempat lain. Tempat yang selamat juga penting untuk elakkan dari diganggu oleh haiwan atau manusia. 

Teknik memecahkan koloni 

Teknik menyaring madu

Teknik mengambil madu

Wednesday, January 1, 2020

BAJA FREE - BAJA ORGANIK IMO

BAJA ORGANIK IMO (Indigenous Microorganism- sejenis kulat)





Baja organik sebenarnya boleh diolah sendiri. Syaratnya jangan malas.

IMO1: Gunakan nasi yang baru dimasak, biarkan ia sejuk. Masukkan dalam satu bekas yang sedikit berlubang dan simpan dipangkal pokok buluh. Selang 3-5 hari akan ada kulat putih memenuhi bekas. Ini adalah kulat baik. IMO1.

IMO2: Ambil semua nasi yang penuh kulat putih + gula merah. Nisbah 1:1, selepas 2-5 minggu fermentasi air baja ini sudah boleh digunakan untuk baja dengan nisbah 1 sudu: 1 Liter.

IMO3: Dedak padi 5 kg + air beras 2 Liter + IMO2 5gram.
Air beras hendaklah diperam selama 3 hari atau 72 jam terlebih dahulu. Gaulkan dedak dengan air beras. Kelembapan hendaklah 65%. Tutup dengan jerami padi atau daun. Biarkan selama 3-7 hari.
Selang 1-3 hari timbunan ini terasa panas dedar bermakna proses berjalan dengan baik. Balik-balikan supaya proses sekata.

IMO4: Tanah gembur, daun kering atau jerami. Campurkan tanah dengan IMO3 dengan nisbah 1:1. Kelembapan 65%. Peram selama 3-5 hari, tutup dengan daun kering atau jerami.

IMO5:  Menggunakan nisbah 1: 1: 5. Iaitu 1 IMO4 : 1 dedaun : 5 tinja ayam. Gaulkan dengan kelembapan 65%. Tutup dengan daun atau jerami. Biarkan selama 6-8 minggu.

Keterangan proses imo1: Cara untuk mendapatkan benih microb bermanafaat, nasi digunakan sebagai zat umpanan agar spora kulat hinggap dan menyerap zat nasi tersebut. 


Keterangan proses imo2: Nasi yang dihinggapi oleh microb dicampur dengan gula merah kerana glukose dalam gula dijadikan bekalan makanan agar kulat dapat bertahan hidup aktif dalam tempoh yang lama(bulan atau tahun). Stok benih dalam bentuk cecair.


Keterangan proses imo3: Imo2 ditukar kepada bentuk baku, bentuk ini juga dinamakan sebagai bokashi. Stok benih dalam bentuk baku.


Keterangan proses imo4: Imo4 adalah aplikasi dari stok IMO3, Imo4 ini juga boleh dijadikan stok kerana dicampur tanah dan dapat bertahan lebih lama. Jumlah yang banyak serta kos murah. Ia boleh ditabur ke tanah kebun untuk suburkan tanah. Bentuk ini juga dinamakan sebagai bokashi. Stok benih dalam bentuk baku.


Keterangan proses imo5: Imo5 adalah aplikasi untuk menghasilkan baja yang lebih kaya dengan miroorganisma, kulat, zat nutrisi sebagainya dalam kuantiti yang banyak. Cara untuk mendapatkan baja free ini dengan manafaatkan bahan terbuang seperti tinja ayam, lembu, lebihan makanan dapur, sayur-sayur terbuang, bangkai binatang, daun-daun dan sebagainya. Semua bahan terbuang ini akan diproses oleh kulat microb IMO kepada bentuk baja tanaman. Nisbah mestilah 1:1:5 iaitu 1 bahagian IMO4, 1 bahagian dedaun hijau dan 5 bahagian bahan terbuang(tinja atau sebagainya)


Fungsi utama microb imo adalah untuk menghadam dan menghuraikan zat beku, juga meneutralkan ke dalam bentuk yang sesuai dengan alam.(mesra alam). microb ini sebenarnya adalah sejenis kulat.Ia hidup subur apabila ada makanan, udara serta suhu lembab dan gelap. Apabila microb ini mendapat makanan ia akan menghuraikan, apa yang dihuraikan oleh microb ini merupakan baja tumbuhan. Oleh sebab itulah pada peringkat IMO5 kita berikan apa sahaja bahan organik kepada kulat ini supaya dihuraikan menjadi baja.


Terdapat banyak jenis lagi baja organik..apa yang saya ketengahkan disini merupakan asas dalam memahami apa itu baja organik.


BAJA ORGANIK SUSU
RACUN SERANGGA ORGANIK
BAJA KOMPOS
BAJA SAMPAH DAPUR

**Nota: Apa yang saya tulis disini adalah dari apa yang saya faham, mungkin ada salah atau silap. Anda digalakkan supaya merujuk laman web lain supaya lebih faham atau individu yang mahir dalam bidang ini.




Kaedah penjernihan air sungai longkang kolam atau tasik

Dari tajuk diatas, saya ingin ketengahkan kaedah untuk menjernihkan air. Tidak kira ia longkang, sungai kecil, tasik atau sungai. Setelah sekian lama kita masih buntu untuk menjernihkan air yang keruh, busuk dan tidak sihat. Dinegara maju kita lihat sungai mereka dirawat dan dijaga dengan baik. Sehingga dalam longkang pun ada banyak ikan besar-besar.

Kaedah ini anda boleh cuba dikawasan longkang tercemar terlebih dahulu. 

Kaedah: 

1. Sediakan IMO2 iaitu IMO dalam bentuk cecair.
2. Sediakan 8 kilogram bahan organik seperti makanan terbuang, sisa dapur, sisa pasar.
3. Guni

Cara:
Masukkan semua sisa organik ke dalam satu guni, kemudian semburkan IMO2 lalu ratakan. Kemudian peram ditempat teduh sehingga naik kulat putih yang banyak.

Pilihlah satu tempat sesuai samada longkang atau terusan kecil yang airnya tidak sihat. Letakkan dalam 500 meter di hulu longkang, sebab air akan jernih dibahagian hilir selepas guni tersebut.

Ikat guni yang dipenuhi bahan organik tadi, tebuk banyak lubang pada guni menggunakan paku supaya air lelehan baja itu dapat keluar. Letakkan guni dalam longkang pada kadar ia tengelam dan sentiasa mengeluarkan lelehan air baja dari guni tersebut. Selang beberapa hari atau minggu, kulat putih akan hidup didasar longkang pada kadar yang banyak, ia akan memakan segala kotoran negatif yang menyebabkan air bertukar menjadi jernih. Untuk satu longkang cukup dengan satu guni yang sentiasa membekalkan benih kulat. Selang satu minggu atau bulan anda perlu masukkan bahan organik baru kedalam guni untuk kekalkan benih kulat putih. Untuk sebatang sungai kecil mungkin memerlukan 3-4 guni. Dan begitulah seterusnya. 

Apabila air telah jernih maka akan banyak hidupan seperti ikan gred baik membiak. Jika dahulu hanya ikan keli sahaja yang mampu hidup. Setelah air jernih ikan seluang dan kelah juga akan boleh hidup. Selamat mencuba.




Tuesday, June 11, 2019

MAKLUMAT PEMBAJAAN



PEMBAJAAN
Kesuburan tanaman bergantung pada jenis baja, cara dan masa pembajaan. Pokok yang dibaja akan menjadi sia-sia jika baja yang digunakan tidak sesuai dengan keperluannya. Pembajaan bertujuan untuk memulihkan kandungan nutrien dalam tanah yang telah diserap oleh tanaman melalui proses fisiologinya. Kekurangan nutrien boleh menyebabkan tumbesaran terbantut, tanaman mudah patah dan daun menjadi kuning. Oleh itu baja boleh di takrifkan sebagai punca pemakanan tumbuhan yang boleh dicampurkan kepada tanah untuk membekalkan bahan-bahan yang diperlukan oleh pokok.



Tumbuhan memerlukan 17 unsur-unsur pemakanan untuk membesar dan melengkapkan edaran hidupnya. Unsur-unsur ini boleh di kategorikan kepada kepada tiga kategori sebagaimana rajah di bawah. Tumbuhan memperolehi unsur-unsur di atas daripada tiga sumber iaitu dari udara, air dan tanah. Karbon, hidrogen dan oksigen diperolehi oleh pokok daripada air dan udara, manakala unsur-unsur lain semuanya diperolehi dari tanah iaitu dari baja dan bahan organan dalam tanah. 

Terdapat dua kategori baja iaitu: 

a) Baja Organik 
Baja asli yang terdiri daripada sisa tumbuhan atau najis haiwan. Biasanya digunakan sebagai baja permulaan. Bertujuan untuk meninggikan tahap kesuburan tanah dan membaiki tekstur tanah. Pastikan najis haiwan yang digunakan telah cukup reput. Contohnya seperti najis-najis haiwan, buangan kelapa sawit seperti tandannya, humas/kompos, darah dan tulang yang diproses dan sebagainya. 

b) Baja Kimia 
Baja yang diproses kepada bentuk-bentuk butiran, hablur dan cecair.
Baja kimia jenis butiran boleh digunakan secara terus kepada tanaman manakala jenis hablur dan cecair hendaklah dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disembur.
Contohnya ialah seperti baja Urea, CIRP, Nitrophoska, Byfolan, Welgrow dan sebagainya. 

Baja kimia jenis butiran pula terdapat dalam 2 jenis:


1. Baja butiran kompaun (compound fertilizer) 

2. Baja tunggal. (single dressing fertilizer) 

Baja kompaun.


Baja yang telah diproses lengkap dengan pelbagai unsur.

Seperti NPK 15:15:15 & NPK 12:12:17+2 TE 

Baja tunggal. 
Baja yang punyai satu jenis unsur sahaja.
Seperti Urea (N), TSP- Triple super fosfat (P2O5), MOP- Muriate of potash (K2O)




CARA/TEKNIK PEMBAJAAN




a) Cara taburan 
Dengan cara ini, baja ditabur/disebar sama rata ke atas tanah dengan tangan atau menggunakan jentera penyebar. Kemudian baja ini mesti digaul dengan tanah supaya ianya tidak terdedah dipermukaan tanah. Cara ini selalunya digunakan apabila membaja asas sayur-sayuran. Siram dengan mencukupi.




b) Cara jalur atau jajar (Band or row placement) 
Dengan cara ini , baja dibubuh ke dalam tanah, biasanya di sebelah dan di bawah bijibenih. Apabila menggunakan cara ini, kita perlu berhati-hati supaya baja tersebut tidak terkena atau terlalu dekat dengan bijibenih.
Misalnya apabila menanam jagung, baja asas dibubuh 2”-4” di sebelah dan di bawah benih semasa menanam.
Cara ini digunakan pada tanaman berbaris seperti jagung, kacang soya, sekoi, kacang tanah dan lain-lain.




c) Baja permukaan(Top dressing) 
Baja permukaan adalah apabila kita menabur baja semasa tanaman sedang membesar. Hanya baja nitrogen sahaja yang selalu digunakan untuk baja permukaan, kerana baja nitrogen senang larutresap dan oleh itu hanya se tengah sahaja dibubuh semasa menanam dan yang selebihnya dibubuh semasa tanaman sedang membesar. 

d) Pembajaan sisi (side dressing) 
Dengan cara ini, baja dibubuh di sisi/ di sebelah tanaman yang sedang membesar. Cara ini dibuat bagi tanaman berbaris, tanaman berjunjung dan pokok-pokok. Bagi tanaman se musim, pembajaan sisi ini hanya dilakukan untuk baja nitrogen sahaja. 

e) Pembajaan berpoket (pocket placement) 
Dengan cara ini, baja dibubuh secara bertumpuk-tumpuk iaitu dibubuh dilubang-lubang dan kemudian ditimbus. Cara ini selalu digunakan apabila membaja pokok-pokok dengan membubuh baja dilubang-lubang yang dikorek disekeliling pokok. Cara ini juga digunakan apabila membaja ubi keledek dan lain-lain. Lubang di korek di keliling silara dengan jarak 50 cm. 

f) Penyemburan daun (foliar application)Cara ini selalu digunakan untuk memberi unsur pemakanan mikro kepada tanaman iaitu dengan cara menyembur larutan pemakanan tersebut kepada daun-daun. Unsur-unsur kuprum, zink, ferum, boron, dan molybdenum, selalunya diberikan kepada tanaman dengan cara semburan daun. Sembur pada daun dan batang sehingga basah sampai ke tanah.

TANDA KEKURANGAN BAJA PADA TANAMAN
NUTRIEN
TANDA KEKURANGAN
Nitrogen (N)
Daun menjadi kuning, khususnya daun tua tidak berlaku keseluruhan. Urat-urat daun juga menjadi kuning.
Fosforus (P)
Saiz daun lebih kecil.
Kalium (K)
Tanda mula-mula kelihatan pada daun yang tua. Ciri-ciri kekuningan pada hujung daun dan merebak ke tepi daun.Seterusnya kawasan kekuningan menjadi nekrosis dan berwarna perang.
Kalsium (Ca)
Kebantutan pokok yang teruk, daun kecil dengan nekrosis pada hujung daun muda dan daun tua.
Magnesium (Mg)
Kekuningan pada daun tua bermula daripada kawasan interkosta berhampiran urat daun dan merebak ke bahagian tepi. Urat-urat daun masih kekal hijau. Daun-daun masih kekal hijau. Daun-daun yang terlibat akan luruh.
Sulfur (S)
Tanda mula-mula kelihatan pada daun muda yang kekal kecil dan bertukar warna menjadi kuning, sementara urat daun masih kekal hijau. Daun-daun yang terlibat menjadi cembung di bahagian permukaan atas
Ferum (Fe)
Daun yang muda mengalami klorosis dengan urat-urat daun masih kekal hijau dan menjadi lebih jelas.
Mangan (Mn)
Pokok menjadi bantut, daun-daun tua mengalami klorosis dan menjadi kuning sementara urat-urat daun masih kelihatan hijau.
Kuprum (Cu)
Pucuk daun menjadi kerekot dengan perubahan warna perang di bahagian tepi, diikuti dengan mati rosot pucuk terminal. Seterusnya terdapat proliferasi pucuk lateral yang juga mudah diserang mati rosot.


PROGRAM PEMBAJAAN BAGI TANAMAN KEKAL / BUAH-BUAHAN / DUSUN

Peringkat Pertumbuhan
Umur Pokok (tahun)
Jenis Baja Sebatian (N:P:K:MG)
Kadar Baja Kg/pkk/tahun
Masa & Cara Membaja
Masa menanam
Baja Asas
CIRP
0.2
Dimasukkan kedalam lubang dan digaul dengan tanah atas. (top-soil)


Baja organik
5-10
Tumbesaran
1
15:15:15 atau
1.0-2.0
Baja sebatian ditabur/ poket/jalur dibawah julai daun 3-4 kali setahun.
Bahan organik ditabur & digaul kedalam tanah,dipangkal pokok sekali setahun.

2
14:13:19:2 atau

3
15:15:6:4


Baja organik
5-10
Berbuah
4
12:12:17:2+TE
2.0
Baja sebatian ditabur/ poket/jalur dibawah julai daun 3-4 kali setahun.
Bahan organik ditabur & digaul kedalam tanah,dipangkal pokok 1-3 kali setahun.

5
atau
2.5

6
12:6:22:3
3.0

7
atau
4.0

>8
13:13:20:2+TE
4.0


Baja Organik
15-30




Kredit: http://puspatani.blogspot.com/2011/03/info-pembajaan.html

Friday, March 8, 2019

Pembaziran kawasan tanah


Salam bahagia,

Hari ini saya nak ketengahkan rasa tidak puas hati terhadap pembaziran tanah yang rata-rata boleh kita lihat dimana-mana. Bayangkanlah, jika seseorang memiliki tanah dalam satu ekar tetapi tidak ada sebarang hasil. Ini merupakan satu pembaziran, sebenarnya tuan-tuan, tanah walaupun satu ekar cukup amat-amat bernilai. Jangan biarkan ia kosong ditumbuhi oleh pokok yang tidak berhasil. Satu ekar jika betul cara pengurusannya ia boleh dijadikan sebagai punca pendapatan dan sara hidup yang mencukupi untuk satu keluarga.



Lagi-lagilah mereka yang dapat tanah pusaka, mulalah gatal tangan nak menjual, ini satu kerugian yang besar. Cuba anda bayangkan, jika tanah ini diusahakan secara bijak, hasilnya mungkin jika dikumpul 10 tahun boleh beli rumah banglo. Jika dijual, duit tersebut tidak dapat bertahan lama, akhirnya habis begitu sahaja. Jika tanah tersebut diusahakan, paling tidak pun ada pendapatan yang tak putus-putus. Dalam erti kata lain, "tanah ini sebenarnya adalah mesin buat duit".



Pada pendapat saya, kebanyakan tuan tanah perlu aktif memanipulasi penggunaan tanah, kebanyakan yang kita tengok satu tapak tanah ada segala macam jenis pokok, contohlah rambutan 1 batang, kelapa 3 batang, pokok pelam, pokok manggis, pokok belimbing, pokok jambu batu dan lain-lain. Jika kita pergi lebih dekat lagi, pokok rambutan sudah tak produktif, pokok kelapa banyak jatuh, tapi bila nak masak beli santan kat kedai juga, pokok pelam berbuah tapi masak gugur jadi sampah. Pokok belimbing bila berbuah semua kemetot, jambu batu bila berbuah oklah, budak-budak, anak cucu suka panjat makan. Bila di kira-kira semula tolak campur kali bahagi, hanya pokok jambu sahaja yang berfaedah. hehe.


Sebenarnya cara penanaman segala macam pokok ini dah tidak sesuai dimasa sekaramg, kalau zaman dahulu lainlah, kedai jauh, hasil pokok pun kalau ada tak dapat dijual sebab peniaga tak ramai, kenderaan pun tak ada. Itulah sebabnya masing-masih tanam untuk keperluan sendiri. Cari duit dengan bersawah dan berkebun getah. Tapi zaman sekarang sudah tidak sesuai lagi, sebab ada tanah tapi makan gaji dibandar, gaji pula kecil, malam buat part time pula. Apa ini sebenarnya. Jadi, jika kita ada tanah kita fikirkanlah semula, apa faedahnya tanah ini. Apa yang kita boleh buat. Katakanlah jika kita lulusan universiti, menjawat jawatan baik dikota. Apa salahnya jika tanah seekar tersebut ditanam pokok getah, boleh juga orang kampung tolong torehkan, Hasil bahagi secara adil. Boleh juga ditanam kelapa, tanam pokok durian dan lain-lain.



Kesilapan yang berlaku contohlah pokok durian, jika diusahakan hasil tak menjadi, buah tak berkualiti dan tak lebat. Puncanya tanam pokok meggunakan biji, memang akan jadi masalah. Kita kena faham pokok durian kalau tanam biji memerlukan masa 10-20 tahun baru ada buah, dan kalau sempat pokok umur 100 tahun -200 tahun barulah betul-betul menjadi buahnya gred1. Ini kita pelu faham. Penyelesaiannya kita tanam pokok kahwin, 4- 6 tahun sudah boleh mengeluarkan hasil, lebat, berkualiti dan gred1 lagi. Teknologi ini dah lama tetapi kita masih tak faham. Oleh sebab itulah negara kita masih lagi mengimport dari thailand untuk keperluan dalam negara. Sekarang negara kita memiliki buah jenis terbaik didunia, iaitu Musang King. Boleh dieksport dan permintaan sangat menggalakkan hingga tidak mencukupi. Di UK harga sebiji durian ialah 50 pound, bayangkan. Untuk dua musim berbuah pendapatannya mungkin cukup sara hidup setahun. 


Dan satu lagi pokok berpotensi besar ialah pokok kelapa Matak. Berbuah lebat dan sentiasa ada pasaran. Buahnya boleh disimpan selama 6 bulan..betul kan? sebiji berapa harganya? 


Kita juga boleh usahakan, berjenis-jenis sayuran, contoh negara kita masih lagi mengimport cili besar dari negara jiran. Kalau nak usaha tak perlu guna tulang 4kerat lagi, sekarang ada jentera... upah sahaja. Dan gajikan pekerja. Macamtulah lebih kurang.... yang penting kita perlu faham bahawa setapak tanah sangat berharga, kerana ia adalah tapak jana pendapatan. Jangan jual atau bazirkan.





Ok, dari pada gambarajah diatas, kita lihat pengurusan tanah satu ekar. Pertama rumah bapa, dibelakang tu kita reservekan untuk rumah anak menantu, satu orang anak perlu ada kalau tidak nanti sunyi , juga boleh membantu bila-bila diperlukan. Depan tu ada satu pondok simple je untuk buat letak hasil kebun bila ada, senang orang lalu lalang boleh nampak dan datang beli atau disedekahkan, jangan lupa letak loceng, nak tunggu tak larat. 



Di belakang lagi adalah kawasan hobi, hobi ni penting, macam-macam boleh buat, nak tanam serai, kunyit ke, atau nak buat gelanggang silat pun boleh. Dibelakang lagi kita buat kebun tempat kerja jana pendapatan, kita boleh maksimumkan tiga jenis tanaman iaitu pokok saka, disulam dengan pokok renek. Di bahagian paling bawah tanam pokok merayap seperti labu, tembikai, keledek atau lain-lain. Haa baru maksimum penggunaan tanah. Yang penting kita perlu berfikir dan merancang. Amacam? ok tak, ini buah fikiran saya sahaja, anda mungkin lebih arif.


Tuesday, February 19, 2019

Cara susun baja kompos


Baja kompos adalah baja percuma yang boleh diolah sendiri. Disembur dengan cecair IMO2 mengandungi microb berguna. Kulat IMO2 akan menghadamkan semua bahan organik dan mereputkannya menjadi baja. Susunan yang lebih sistematik diperlukan supaya semua bahan berjaya menjadi baja. Dibawah ini idea susun tingkat digunakan supaya adanya ruang udara untuk mengaktifkan mikrob dari semua arah. Kelembapan 65% perlu dijaga. Setiap lapisan hendaklah disembur dengan larutan IMO2 supaya lebih cepat proses penghadaman. Kelebihan menggunakan sistem tingkat dimana air yang berlebihan akan turun ke tanah.


Gambarajah x - keterangan detail

Gambarajah Z - pandangan isometrik

Gambarajah Y - susunan 7 tingkat

Selepas siap susunan, baja kompos perlu diselubungi dengan plastik canvas supaya keadaan jadi berkuap. Elakkan dari terkena panas matahari. Sebaiknya susunan berada dibawah atap atau tempat tertutup yang sejuk atau redup.




Punca kekayaan negara

Negara kaya rakyat bahagia. Kunci kekayaan negara terletak pada hasil buminya, kerana dari bumi keluar segala khazanah  secara percuma dan b...